Wednesday, October 8, 2008

Tazkirah Remaja: Keakraban elak derhaka

Tazkirah Remaja: Keakraban elak derhaka

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20080620114052/Article/index_html

SABDA Rasulullah s.a.w bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu apabila usianya satu hingga tujuh tahun.

”Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tidak mengapa.

Kepada yang lebih gemar menggeletek, kejar mengejar atau mengusik anak, bolehlah teruskan asalkan ia dapat me rapatkan hubungan anak dan ibu bapa.

Dari usia mereka tujuh hingga 14 tahun, kita terus mem berikan pendidikan dan tunjuk ajar, tetapi jika ada kesalahan dilakukan mereka, pukullah mereka sebagai pengajaran.

Pukul bukan sebarangan, hanya di bahagian yang tidak memudaratkan seperti di tapak kaki, bukan pada muka, punggung, telinga dan di tempat yang sensitif, kerana ia boleh menyebabkan kecederaan.

Jika anak itu bijak dan menang dalam sebarang per tandingan di sekolah, ucaplah tahniah.

Malah, tidaklah salah jika kita memberikan ciuman atau memeluk mereka sebagai tanda penghargaan.

Apabila usia mereka meningkat dari 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan. Tetapi selalunya pada usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak menjadi derhaka.

Cuma yang penting anak perlu dilatih mengerjakan solat berjemaah, dilatih supaya mencium tangan orang tua serta peluk penuh kasih dan sayang. Jadi, mereka tidak akan tergamak untuk menderhaka.

Saya pernah melakukan tinjauan terhadap kes anak yang lari dari rumah, puncanya perasaan bosan. Belum sempat di letaknya beg sekolah, ibu sudah menyuruhnya macam-macam.

Perkara sebegini membuatkan si anak berasa tertekan, malah menyampah dengan persekitaran dan rumahnya.

Memang, boleh disuruh tetapi berikanlah hak mereka di rumah. Yang penting si anak dapat pulang ke rumah dengan suka hati dan pergi ke sekolah pun berasa seronok.

Mungkin ibu bapa mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Jika begitu, kita boleh cuba cara lain. Pulang di tengah malam, anak sudah tidur, pergi ke bilik dan cium dahi mereka.

Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa mutlak kepada mereka dan jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang menjadi doa kepada mereka. Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.

Lazimnya orang tua, pantang anak menegur, walaupun mereka tahu bersalah. Jangan berasa tercabar dengan teguran kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walaupun menyusur di bawah akar.

Saidina Umar r.a berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.

Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, jika berjumpa dengan anak kecil, baginda cukup hormat dan sayang sebab kanak-kanak tidak berdosa.

Lagipun kanak-kanak jika menegur orang memang ikhlas dan jarang bersikap tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai. Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak, malah jika menegur pun dengan ekor mata dan herdikan.

ikap dan tindakan begini akan membuatkan si anak berasa tersisih dan tidak dihargai. Justeru, mereka akan mengadu kepada kawan sebaya. Jika jumpa kawan baik tidaklah mengapa, tetapi bagaimana sekiranya mereka jumpa yang samseng? Sudah tentu akan membawa padah.

Awasilah anak kita!

Tuesday, October 7, 2008

Anak baik jiwa kental

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Hati/20080917095512/Article/index_html

IBU bapa sering mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak mereka dan mahu keinginan itu dicapai mengikut acuan tertentu.Bagaimanapun, bukan semua anak menurut kehendak atau acuan yang dicanai ibu bapa. Ada anak cuba memenuhi kehendak ibu bapa tetapi bertindak mengikut kemahuan sendiri.

Keadaan itu menjadikan ibu bapa kecewa. Bagaimanapun, bagi pihak anak, mereka mendakwa sudah memenuhi impian keluarga dan mahu memenuhi impian sendiri pula.Jika mahu berlaku adil kepada anak, ibu bapa perlu berbincang dan mencapai kata sepakat dalam memberi laluan terbaik buat semua.


Antara perkara penting yang perlu dilakukan adalah dengan mendidik anak berdikari. Dalam melaksanakannya ia memerlukan komitmen dan jangka waktu yang agak lama.

Kita perlu matangkan mereka dengan suasana yang baik di samping memainkan peranan sendiri sebagai orang tua bagi membolehkan mereka berdikari.Matang dalam bertindak dan menimbang baik buruk sesuatu perkara adalah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang anak.
Tahan lasak apabila diuji dengan dugaan hidup.

Pastinya ibu bapa tidak mengingini anak yang lembam, malas berusaha, lemah jiwa dan pendek akalnya walaupun sudah dewasa.Justeru apakah petua membentuk anak bijak merancang, ringan tulang dan kuat jiwanya?

· Galak anak-anak membantu ibu bapa

Anak sewajarnya digalakkan membantu ibu bapa dan meringankan tugas di rumah. Ibu bapa perlu menyuruh mereka bukan dengan nada memaksa sebaliknya dengan suara yang lembut. Waktunya pula hendaklah bersesuaian.
Jika anak sedang mengulang kaji pelajaran, elak meminta mereka menguruskan kerja rumah. Ibu bapa boleh meminta anak perempuan mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk atau menghidang makanan.Anak lelaki pula, minta mereka bersihkan halaman atau membasuh kereta.
Elak membebankan anak dengan tugas yang berat dan tidak mampu dilakukan.Jangan lupa mengucapkan terima kasih di atas pertolongan mereka.

· Biasakan anak urus diri sendiri

Anak yang mula memasuki alam persekolahan sewajarnya diajar cara terbaik mengurus diri. Mereka wajar diasuh mengemas bilik tidurnya, berpakaian kemas dan sentiasa kelihatan bersih. Jangan sesekali membiarkan mereka berkeadaan comot, kotor dan selekeh di rumah atau sekolah.

· Biasakan cara hidup sederhana

Biasakan anak dengan cara hidup sederhana walaupun kita mampu memberikan kemewahan. Kemewahan akan menyebabkan mereka sentiasa mengharap, malas berusaha dan lemah jiwa. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menggalakkan mereka agar sentiasa berjimat cermat dan menabung wang lebihan belanja harian.

· Asuh anak suka membantu orang

Anak kita juga perlu diasuh agar menolong orang yang memerlukan bantuan. Secara tidak langsung, mereka akan dapat memahami sedikit sebanyak hakikat hidup yang tidak selamanya menjanjikan bahagia dan kesenangan. Dengan itu, anak kita akan sentiasa berwaspada dalam hidupnya dan matang menilai dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

· Ajar kemahiran hidup

Anak juga boleh diajar menjahit, berkebun atau membaiki sebarang kerosakan kecil. Pendidikan sebegini diperkenalkan di semua sekolah. Namun, ibu bapa perlu menggalakkan mereka mengamalkan ilmu yang dimiliki.
Awasi kerja mereka untuk mengelak sebarang bahaya. Kanak-kanak yang dilatih berdikari akan menjadi orang yang kuat jiwanya dan dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan suasana dan tempat. Dia juga yakin dengan kebolehan diri sendiri.

Inilah cara membantu anak kita berakhlak mulia. Jika latihan itu disertai dengan nasihat secara hikmah, insya-Allah anak kita akan memiliki pekerti dan hati yang baik!

Peluk (anak) tanda kasih

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Hati/20080924100542/Article/index_html

AGAMA meletakkan garis panduan bahawa 24 jam yang diperuntukkan memang cukup buat ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya waktu untuk mencari rezeki, beribadat dan rehat yang mencukupi selain merancang perkara berfaedah untuk kebaikan keluarga tercinta.

Namun, ada yang tersasar kerana terlalu mengejar kebendaaan hingga melupakan tanggungjawab dan amanah membina keluarga.Kembalilah bermuhasabah supaya anak-anak dan keluarga tidak jauh tersisih.

Jika anda baru saja membina keluarga, panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk memperoleh kebahagiaan keluarga yang diingini:

· Jalankan peranan sebagai ibu bapa.

Menyediakan keperluan asas keluarga sesuai dengan pendapatan, saling mengambil berat dan berkongsi antara satu sama lain. Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak dan kotakan apa yang dikata.

· Amalkan cara berkomunikasi yang baik (dengan pasangan, anak, ahli keluarga dan rakan).

Pilih perkataan yang sesuai dan hormatilah orang lain.Jadilah pendengar yang baik. Belajarlah mendengar supaya orang lain boleh bercakap dan belajarlah bercakap supaya orang lain mahu mendengar.

· Wujudkan suasana rumah tangga positif.

Belajar mengendali sikap negatif ahli keluarga tanpa diri sendiri bersikap negatif. Pupuk hubungan sebaik mungkin sesama pasangan dan anak. Selesaikan sebarang salah faham dan konflik dengan segera.

· Amalkan sikap terbuka, jangan lokek meluahkan kasih sayang.

Katakan ‘sayang’ atau ‘saya ambil berat mengenai diri...’ kepada orang yang disayangi. Beri pelukan untuk menunjukkan kasih sayang kerana satu pelukan sehari akan menceriakan anda sepanjang hari.Berikan kad ucapan atau nota kepada ahli keluarga sekerap mungkin.

· Kemahiran daya tindakan.

Setiap perkahwinan akan mengalami pelbagai peringkat dan bentuk permasalahan rumah tangga. Pasangan suami isteri yang lebih peka dan bersedia akan dapat menghadapi sebarang cabaran.
Hasilnya, tekanan emosi akibat masalah rumah tangga akan dapat dikurangkan. Sebenarnya, mempelajari kemahiran daya tindak yang berkesan akan membantu menangani masalah rumah tangga dan mengelakkan keretakan rumah tangga.

· Amalkan kemahiran daya tindak yang lain seperti berdoa, bertafakur, senaman pernafasan, teknik rehat, senaman fizikal atau bergurau senda untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga.

· Masalah keluarga.

Analisis masalah sama ada situasi itu boleh diubah atau sebaliknya. Jika situasi boleh diubah, kenal pasti masalah contohnya anak tidak lagi minat bersekolah. Antara cara mengatasi masalah termasuk berbincang dengan guru, anak, bertanyakan anak mengenai masalahnya atau dapatkan bantuan profesional.

· Buat pilihan untuk bertindak

Bagi situasi tidak boleh berubah misalnya kematian ahli keluarga, cuba ubah pengertian situasi berkenaan. Contohnya, anggap kematian sesuatu yang semula jadi atau Tuhan lebih menyayanginya.
Ibu bapa yang mempunyai kesihatan mental yang baik dapat berkomunikasi dengan pasangan, anak, ahli keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling dengan harmoni. Memupuk kasih sayang dalam keluarga penting bagi mencapai keharmonian perkahwinan dan hidup berkeluarga yang bahagia. Amalan ini mewujudkan suasana kekeluargaan yang menyokong ke arah kebaikan kesihatan mental seisi sekeluarga.

· Kendali emosi anda Kongsi perasaan dengan orang yang boleh dipercayai.

Tingkatkan kekuatan kerohanian contohnya dengan bersembahyang, bertafakur, amalan membaca kitab agama dan lakukan perkara bermanfaat.Amalkan bicara diri yang positif seperti ‘saya bagus’, ‘saya boleh’ dan ‘saya penyayang’. Elakkan bercakap atau bertindak dalam keadaan yang marah.

Pendahuluan

Salam Pengunjung,

Tujuan blog ini ialah untuk menghimpunkan sebanyak boleh artikel mengenai panduan, tip dan petua mendidik anak yang terdapat di dalam akhbar, majalah, buku dan sebagainya.

Sebelum ini, koleksi yang ada hanya tersimpan di dalam pc atau keratan yang diletak entah di mana.

Semoga dengan adanya blog ini, dapatlah dihimpunkan semua koleksi yang ada dan bakal ada di sini dan dengan itu dapatlah kita sama-sama memanfaatkannya.

Sekian.